Tiada halangan bagi pendakwah tersohor dari India, Dr Zakir Naik untuk mengadakan ceramah di Johor.


JOHOR BAHRU - Tiada halangan bagi pendakwah tersohor dari India, Dr Zakir Naik untuk mengadakan ceramah di Johor asalkan dakwah yang ingin disampaikan tidak bercanggah dengan amalan umat Islam di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Abd Mutalip Abd Rahman berkata, pihaknya akan meneliti tajuk dan fokus ceramah khususnya ilmu akidah dan serta tauhid.

“Beliau (Zakir) adalah pendakwah yang bagus..kita tidak akan menyekat kehadirannya untuk menyampaikan ceramah kerana aktiviti dakwah adalah salah satu usaha menyampaikan kebenaran Islam.

“Bagaimanapun kita perlu teliti terlebih dahulu apa tajuk yang ingin disampaikannya supaya tidak menyentuh sensitiviti dan amalan umat Islam dan penganjur juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Secara peribadi, saya sendiri ikuti ceramah disampaikan Dr Zakir..memang benar beliau juga berkebolehan berdebat khususnya ketika sesi soal jawab, namun perlu berhati-hati kerana khuatir bercanggah dengan amalan kita di sini terutamanya aspek akidah dan ibadah,” katanya.

Abd Mutalip berkata, walaupun kebolehan Dr Zakir ketika berdakwah diakui ramai pihak, namun pernah berlaku perselisihan pendapat antara beliau dengan ulama di negaranya sendiri.

“Tidak salah berdakwah, ia dituntut dalam Islam, memang ramai bertanya sama ada Johor menjadi salah satu destinasi pilihan Dr Zakir untuk mengadakan ceramah, setakat ini kita tiada maklumat mengenainya,” katanya.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.